Thursday, July 22, 2010

Puteri Cendana siri Akhir

Hari ketiga telah bermula. Mentari sudah sepenggalah. Puteri Cendana menjemur air garam semalam supaya air garam itu bertukar menjadi butiran garam. Begitulah yang diberitahu kepadanya oleh Si Penjual Garam. Segala persiapan menghadap Baginda Raja telah disiapkan. Cabaran ketiga masih tidak dapat diselesaikan. Puteri Cendana masih mencari-cari ilham untuk memecahkan permasalahan itu. Dicubanya menyembunyikan cincin emas Baginda Raja di dalam biliknya tetapi terasa ada yang memerhati. Pergi pula Puteri Cendana ke bawah rumah. Dicuba menyorokkan di bawah tempayan namun tetap merasakan ada yang melihat.

Rumahnya berada di hujung kampung. Jauh dari penduduk kampung yang lain. Tika matahari tegak di langit seperti ini kebiasaannya, penduduk kampung yang lain berada di rumah atau di ladang menjamu makanan tengahari. Sudah sepatutnya Puteri Cendana dengan mudah menyembunyikan cincin emas itu. Dia bersendirian dan ibu bapanya juga belum pulang dari hutan mencari hasil hutan bagi menampung perjalanan jauh ke negeri orang sekiranya cabaran yang terakhir ini tidak dapat diselesaikan.

Air garam yang dijemur sudah bertukar menjadi butiran garam. Ibu dan bapanya juga sudah kembali dari hutan. Setelah menjamah makanan sekadarnya, mereka tiga beranak pun menuju ke Istana Baginda Raja. Ibu bapa Puteri Cendana membawa talam-talam berisi rempah dan bijirin yang telah diasingkan manakala dirinya membawa bekas berisi pasir dan garam dikedua belah tangannya.

“Cendana, bagaimana dengan Cincin Emas Baginda Raja? Sudahkah kau sembunyikan?” Tanya ibunya. Cendana hanya diam sahaja. Ibunya tidak bertanya lagi. Penduduk kampung yang mengetahui kisah mereka mengucapkan kata-kata semangat supaya mereka tiga beranak dipermudahkan.

Seorang daripada penduduk kampung itu berkata, “Keluarga Cendana sangat baik kepada kita. Tidak pernah memusuhi sesiapa dan Cendana sendiri sudah seperti anak kita. Sama-samalah kita doakan kebaikan kepada mereka. Semoga Tuhan Yang Rahman membantu mereka”.

“Ampun Tuanku beribu ampun sembah patik harap diampun”, sembah mereka tiga beranak ketika sampai ke hadapan Baginda Raja Alam Kesuma. Kelihatan Permaisuri Sri Nilam Tempawan di samping Baginda Raja. Wajah Baginda Permaisuri berseri-seri memandang Puteri Cendana. Sejurus kemudian Raja Alam Kesuma bertitah, “Sudahkah diselesaikan kesemua cabaran Beta?”

Tanpa berkata sepatah pun, ibu bapa Puteri Cendana terus mempersembahkan talam di tangan mereka kepada Baginda Raja. Dibukanya penutup kain yang menutup bahan-bahan di dalam uncang tempoh hari. Raja Alam Kesuma menganggukkan kepala baginda dan bertitah, “Cabaran pertama dapat kamu selesaikan dengan baik. Cabaran kedua dan ketiga pula?”

Giliran Puteri Cendana pula mempersembahkan dua buah bekas berisi garam dan pasir yang telah diasingkan. Melihat itu, baginda bertitah, “Sila terangkan kepada Beta cara kamu menyelesaikannya?”
Puteri Cendana pun menerangkan cara dia menyelesaikan Cabaran Pertama dan Cabaran Kedua.

“Adapun untuk Cabaran Ketiga, tidaklah dapat patik laksanakan”, terang Puteri Cendana. Semua orang di dalam Balai Menghadap terdiam. Baginda Raja berubah muka, kaget dengan jawapan Puteri Cendana. Puteri Cendana lalu menyambung, “Hatta, tika patik bersendiri pun, tidaklah patik mampu menyembunyikan cincin itu tanpa dilihat sesiapa. Patik sangka patiklah yang masih dapat melihatnya, lalu patik pejamkan mata dan cuba menyembunyikan cincin itu sekali lagi”.

Baginda Raja segera bertanya, “Lalu, mengapa kamu masih tidak mampu menyembunyikan cincin itu setelah memejamkan mata? Tiada siapa dapat melihat walaupun kamu sendiri”.
Puteri Cendana menjawab, “Masih ada yang melihat iaitu Tuhan Yang Maha Melihat. Yang memiliki sifat Bashir. Tiada suatupun yang dapat terlepas daripada pandanganNya”.
“Subhanallah”, sahut para pembesar negara.
“Subhanallah, Maha Suci Allah. Allahu Akbar, Allah Maha Besar”, sahut Baginda Raja Alam Kesuma.

Ibu bapa Puteri Cendana menundukkan pandangan mendengar penjelasan anak mereka. Ini bermakna mereka akan dibuang negeri oleh kerana Cabaran Ketiga sudah semestinya tidak dapat dilaksanakan.

Sinar mentari mulai hilang. Suasana senja menebarkan mega merah di ufuk barat. Matahari akan tenggelam sebentar lagi. Gelap malam mulai menutupi alam. Suasana di Balai Menghadap senyap sunyi.

Baginda Permaisuri berwajah sugul kerana hasratnya mungkin tidak kesampaian. Mahu sahaja Baginda merayu Baginda Raja, suami tercinta untuk membenarkan sahaja cita-citanya mengambil Puteri Cendana menjadi anak asuhan mereka. Belum sempat Baginda Permaisuri menyatakan hasratnya, Baginda Raja Alam Kesuma memulakan titah mulia, “Anak kecil, kamu sebenarnya telah berjaya menepati hasrat Beta dalam kesemua Cabaran yang Beta ajukan”.

Suasana lewat petang itu mulai diterangi api jamung dan pelita. Berkelip-kelip pada mulanya kemudian menjadi terang benderang. Bulan dan bintang mulai menyinar cahaya. Malam itu terang bulan, bulan pada empat belas haribulan.
Kesemua yang hadir kaget dan menunggu titah selanjutnya.
“Cabaran Beta yang pertama adalah untuk menguji kesungguhan dan kesabaran anak ini. Cabaran kedua pula adalah untuk menguji akal budak ini”, titah Raja Alam Kesuma.

Baginda bertitah lagi, “Cabaran terakhir beta memang untuk gagal kerana beta ingin tahu sejauh mana keimanan anak kecil ini. Beta amat kagum dengan jawapan anakanda. Kini terbuktilah anakanda layak menjadi puteri Kerajaan Pura Perdana”.
Sejurus itu juga Puteri Cendana dan orang tuanya tunduk sujud. Bersyukur kepada Allah dan memuji-muji kebesarannya, “Subhanallah, wal hamdulillah, wa la ilaha illallah, Allahu akbar”. Pada malam itu Baginda Raja mengumumkan untuk mengadakan Majlis Penganugerahan Gelaran Puteri kepada Cendana pada keesokan hari. Pada malam itu, tabuh bersahut-sahutan bagi mengumumkan majlis tersebut.

Keesokan hari, majlis diadakan besar-besaran bagi meraikan Puteri Cendana sekeluarga. Orang-orang kampung gempar mendengar berita tersebut, namun gembira dengan khabar ini. Raja Alam Kesuma dengan rasminya menjadikan Puteri Cendana sebagai anak asuhannya. Giranglah hati Baginda Permaisuri kerana hajatnya tercapai sudah.

Sesudah sepurnama Puteri Cendana menjadi anak asuhan Baginda Raja Alam Kesuma, Permaisuri Sri Nilam Tempawan didapati hamil. Maka bergembiralah kedua pasangan Diraja dan bertambah-tambah sayang mereka kepada Puteri Cendana. Mereka beranggapan berita ini adalah berkat mengambil Puteri Cendana sebagai anak asuhan. Cukup usia kehamilan sembilan bulan sepuluh hari, Permaisuri melahirkan seorang puteri yang mereka namakan Puteri Harum Delima.

Puteri Cendana dan Puteri Harum Delima dibesarkan dengan penuh kasih sayang dan dilayan seadilnya. Hubungan kedua-dua puteri ini juga sangat rapat walau berlainan sulur darah. Namun kehidupan tidak selalunya indah bagi Puteri Cendana. Masa pastinya menjadi saksi kepada sikap hasad dengki manusia dan Puteri Cendana menjadi mangsa. Namun itu merupakan pengkisahan yang lain. Untuk ceritera ini, berakhirlah sudah.

Puteri Cendana siri 6

Sang suria menebarkan rembang sinarnya menerangi alam jagat. Puteri Cendana kelihatan menuju ke pasar untuk berjumpa dengan Si Penjual Garam.
“Wahai Penjual Garam yang budiman, bolehkah hamba bertanya sesuatu?” Tanya Puteri Cendana setelah menjumpai Si Penjual Garam. Maka menjawablah Si Penjual Garam, “Ada apa wahai anak kecil?”

Puteri Cendana menyatakan pertanyaan berkenaan asal garam dijadikan. Penjual Garam pun menerangkan dengan panjang lebar tentang cara garam dihasilkan. Hasil penerangan Si Penjual Garam, Puteri Cendana pun mendapat satu akal untuk menyelesaikan Cabaran Kedua. Berlarilah anak kecil ini balik ke rumah. Dengan tercungap-cungap dia mendapatkan ibunya.

“Ibu, Cendana sudah mendapat akal untuk Cabaran Kedua Baginda Raja” kata Puteri Cendana. Lalu dia menerangkan kepada ibunya, “Mula-mula kita bancuh garam dan pasir di dalam Cupak Raja itu dengan air panas. Garam akan bertukar menjadi air garam, sedangkan pasir akan tetap tidak berubah”.

“Wah, bijak sungguh anak bapak” bapa Puteri Cendana mencelah. Ibunya lalu bertanya, “Terus, bagaimana hendak diasingkan garam dan pasir itu?”
Puteri Cendana pun menerangkan, “Setelah menjadi air garam, pasir itu boleh kita asingkan menggunakan penapis. Air garam akan kita saring ke dalam bekas yang lain, maka yang tinggal pada penapis ialah pasir semata”.

Begitulah rancangan yang difikirkan oleh Puteri Cendana dan dilaksanakan pada petang itu juga. Setelah air tanak, campuran di dalam Cupak Raja itu dibancuh ke dalam air panas. Air garam dan pasir yang telah diasingkan ke bekas lain itu disimpan di atas para. Matahari sudah condong ke ufuk barat dan Puteri Cendana terus memikirkan cara untuk menyelesaikan Cabaran Terakhir. Ibu dan bapa Puteri Cendana bersusah hati mengenangkan nasib yang bakal menimpa mereka sekeluarga. Cabaran ketiga belum juga dapat difikirkan mereka.

Tiba-tiba datang seorang tua ke rumah mereka. Dia bertanya khabar dan menjemput untuk datang ke balai solat di tengah kampung kerana katanya ada orang alim bermusafir sedang singgah di kampung mereka. Seketika itu juga Puteri Cendana bagai melihat bintang terang berkilau di ufuk barat. Cahayanya mengalahkan sinar mentari petang. Datanglah firasat baik dalam dirinya untuk menghadiri majlis di balai solat pada malam itu.

“Ibu, ayah”, kata Puteri Cendana. “Ada baiknya kita menghadiri majlis ilmu itu pada malam ini. Manalah tahu Allah menunjukkan jalan untuk menyelesaikan masalah kita ini. Setidak-tidaknya, dapat juga kita ilmu berguna andai esok menjadi hari terakhir kita di negeri ini”.

Mendengar kata-kata Puteri Cendana itu, menjadi haru hati keduanya.
“Baiklah, kita pergi malam ini. Emaknya, pergilah buat apa-apa yang patut untuk kita beri kepada orang alim itu. Adat belajar, menghormati guru”, ujar Si Bapa.
Pada malam itu, selepas solat Isyak mendengarlah orang-orang kampung akan ajaran Si Alim Musafir. Si Alim Musafir menerangkan tentang keimanan kepada Allah dengan berpandukan kepada Asma’ atau Nama-nama Allah yang mulia. Pada malam itu juga Puteri Cendana bagai tercerahkan.

Bintang pada lewat petang tadi dilihat memancar-mancar kegemilangan pada malam itu. Indah cemerlang mengalahkan yang lain dan hanya Puteri Cendana menyaksikan. Malam itu, tidurlah anak beranak itu dengan hati yang ringan kerana merasa nikmat belajar ilmu tentang Ketuhanan. Bertambah-tambah iman mereka dan tiada lagi mereka berdukacita. Segalanya kini diserahkan kepada Ilahi.
Ya Rahman,
Ya Rahim,
Ya Wahab…

Tuesday, July 20, 2010

Memberi tanpa mahu balasan

06-032010 Memberi tanpa mahu balasan

Memberilah dan Allah akan balas dengan yang lebih baik. Tolong orang lain, suatu masa nanti Allah bukakan hati orang lain untuk membantu kita.
Situasi: Kita memberi laluan kepada kereta dari kiri jalan untuk masuk lorong kita, sampai ketika apabila kita tersalah lorong dan mahu menukar laluan, Allah lembutkan hati orang lain untuk beri kita jalan. Begitulah dalam jalan kehidupan kita, tak semestinya orang yang kita tolong itu akan balas bantuan kita, mungkin orang lain yang Allah hantar untuk bantu kita.

Memaafkan orang lain, bererti memaafkan diri sendiri.

06-022010 Memaafkan orang lain, bererti memaafkan diri sendiri.

Jika tidak memaafkan, kita membawa beban. Dengan memaafkan, kita melepaskan beban itu, menjadikan diri kita lepas daripada orang lain. Siapa diri kita kalau dibandingkan dengan Allah yang Maha Agung, masih lagi mengampunkan hambanya yang berdosa dengan rahmat kasihnya. Tidaklah layak bagi kita untuk tidak memaafkan orang lain. Jangan jadikan diri kita terbelenggu dengan orang lain.

Thursday, July 15, 2010

Puteri Cendana siri 5

Sesampai di rumah, ibu Puteri Cendana terus membuka uncang pemberian raja. Diluahkan segala isi uncang itu ke dalam talam. Maka bersemburan bahan-bahan berupa rempah ratus, beras dan kekacang. Ibunya berkata, “Banyak sungguh bahan-bahan di dalam uncang ini. Bagaimana hendak kita asingkannya?”

Puteri Cendana menjawab, “Cendana akan asingkan dahulu bahan-bahan yang besar dan kasar. Kemudian barulah diusahakan bahan yang lebih kecil. Bukankah setelah halangan yang besar dapat diselesaikan, perkara yang kecil menjadi mudah?” Ibunya memuji akal anaknya itu. Pada petang itu sama-samalah anak-beranak itu mengasingkan pelbagai bahan di dalam uncang itu.

Diasingkan satu-satu bahan di dalam dua talam. Satu untuk rempah ratus dan satu talam lagi khusus untuk beras, bijian dan kekacang. Setelah mentari mulai hilang cahaya, baru sudah kerja mereka. Di dalam talam rempah ada bunga cengkih, bunga lawang, kulit kayu manis, lada kering, lada hitam, halia, kunyit, bawang putih dan bawang merah. Manakala di talam yang satu lagi ada beras, kacang tanah, kacang hijau, biji jagung dan biji selasih. Berakhirlah hari pertama.

Malam itu, Puteri Cendana menolong ibunya di dapur. Ibunya menyayur kangkung dan dia menanak nasi. Walaupun di usia lima tahun, Puteri Cendana sudah pandai membuat kerja-kerja dapur. Sambil menunggu nasi tanak, dia melihat ibunya memasak lauk. Ketika ibunya membubuh garam, dia bertanya, “Wahai ibu, bagaimana garam dibuat?” Ibunya menjawab, “Ibu tidak tahu, cuba kau tanya penjual garam di pasar, mungkin dia tahu”.

“Mungkin peniaga garam dapat membantu aku menyelesaikan cabaran kedua”, bisik Puteri Cendana.

Dinihari itu keluarga itu makan dengan penuh kesayuan. Suasana hening di luar rumah ditambah kedinginan yang mencengkam terasa seperti bersimpati kepada keluarga ini. Selesai sudah cabaran pertama. Bagaimana pula hendak menyelesaikan cabaran kedua. Hendak diasingkan garam dan pasir mengikut cara cabaran pertama sepertinya tersangat sukar untuk dikerjakan. Cabaran ketiga juga bagaikan ada muslihatnya. Selesai makan malam, mereka sekeluarga bersolat dan bermunajat memohon petunjuk Ilahi. Malam itu Puteri Cendana tertidur di pangkuan ibunya. Ibu bapanya tak dapat melelapkan mata memikirkan nasib yang menimpa. Dengan berharapan bahawa sesudah kesulitan pasti berlaku kesenangan, mereka pun menyerahkan segala urusan kepada Allah.

Maaf kepada pembaca sekalian, cerita ini tak dapat saya sudahkan minggu ini. Ikuti sambungannya minggu depan. Mohon petunjuk Allah untuk menyudahkan cerita ini.

Wednesday, July 14, 2010

“Semarak Ramadhan”

“Semarak Ramadhan”

Semalam diadakan ceramah ‘Semarak Ramadhan’ di kilang saya.
Sedikit pengisian untuk perkongsian bersama.

Sekarang kita sudah masuk bulan Sya’ban, perlu kita mula memikirkan persediaan menyambut Ramadhan. Antara perkara-perkara untuk menyambut Ramadhan ialah;

1.Perbanyakkan puasa sunat. (puasa Isnin-khamis, puasa hari terang/putih=13,14,15hb, puasa nabi Daud=selang hari/sehari puasa sehari berbuka)

2.Bagi lelaki amalkan solat berjemaah, bagi perempuan solat di awal waktu (dah menyamai solat jemaah bagi lelaki. Allah dah beri banyak kemudahan kepada wanita dari sudut beribadah).

3.Perbanyakkan membaca al-Quran. Amalkan khatam al-Quran setiap malam. (caranya ialah dengan membaca surah al-Ikhlas 3 kali menyamai membaca al-Quran 30 juzuk).

4.Menghias rumah dengan niat menyambut Ramadhan. (perkara pelik bagi masyarakat Islam Malaysia. Biasanya hias rumah untuk sambut Raya kan…).

Saya menyeru diri saya dan sahabat sekalian untuk sama-sama menyemarakkan Ramadhan yang bakal tiba dengan mempersiapkan diri seperti yang dianjurkan.

Ceramah disampaikan oleh Ustaz Abdul Rahim B Sahalan, lulusan al-Azhar Cairo, Imam Masjid Taman Saujana.

Thursday, July 8, 2010

Puteri Cendana siri 4

Ibu bapa puteri Cendana sangat risau ketika menghadap raja mereka. Puteri Cendana pula kelihatan tenang sahaja. Ketika mereka bertiga masuk ke Balai Menghadap, hanya kelihatan Raja Alam Kesuma sahaja di atas singgahsana. Puteri Cendana dan kedua orang tuanya menghadap raja seperti kebiasaan hamba rakyat mengangkat sembah. Sejurus itu Raja Alam Kesuma bertitah, “Beta mahu menghukum anak ini kerana kelancangannya tadi.”

Mendengar titah raja itu, ibu bapa Puteri Cendana menunduk sambil menangis kerana anak mereka ingin dihukum. Si ayah kemudian berkata, “Mohon ampun Tuanku, patik memohon agar diri patik menjadi galang gantinya. Adapun patik inilah kurang mendidik sehingga terjadi perkara yang tidak berkenan di hati Tuanku”.

“Tidak! Beta hanya mahu menghukum orang yang bersalah sahaja. Esok bawa dia menghadap Beta untuk dikenakan hukuman”, titah Raja Alam Kesuma. Maka menangislah kedua orang tua Puteri Cendana. Puteri Cendana pula masih kelihatan tenang dan memeluk kedua orang tuanya dan berkata, “Usahlah ibu dan ayah gusar.

Bukankah ibu dan ayah telah mengajar anakanda, berani kerana benar, takut kerana salah? Anakanda tidak melakukan kesalahan, maka yakinlah Allah bersama-sama hambaNya yang benar.”

Keesokan harinya, sinar mentari pagi dilindungi awan kelabu. Suasana tak seindah pagi-pagi kelmarin. Burung bagai diam tidak berkicau. Suasana pagi itu sepilu hati kedua-dua orang tua Puteri Cendana. Dengan hati yang berdebar-debar, Puteri Cendana dibawa menghadap raja untuk menjalani hukuman. Kedua-dua orang tua Puteri Cendana berhati walang. Setelah ketiga-tiganya mengangkat sembah, Raja Alam Kesuma bertitah, “Sangat terpuji akhlak anak ini.

Tidak takut walaupun hendak dihukum. Yakin sungguh dirinya di pihak yang benar”. Suasana sepi di Balai Menghadap. Ketiga-tiga hamba rakyat ini berdiam diri dan mendengar titah selanjutnya.

“Hai anak kecil, kamu akan Beta lepaskan daripada hukuman sekiranya kamu berjaya melepasi ujian Beta. Beranikah kamu menyahut cabaran Beta?”. Puteri Cendana menjawab dengan penuh yakin, “Patik sedia menerima cabaran Tuanku kerana patik yakin berada di pihak yang benar. Tiada salahnya patik meminta izin ibu bapa patik sebelum patik menghadap Tuanku”. Lalu Raja Alam Kesuma menitahkan bendahara untuk membacakan tiga cabaran Baginda kepada Puteri Cendana seperti berikut;

Cabaran Pertama: Hendaklah kamu mengasingkan bahan-bahan dalam uncang yang akan diberi. Uncang itu mengandungi beberapa jenis rempah dan juga beberapa jenis bijirin yang bercampur baur..

Cabaran Kedua: Hendaklah kamu mengasingkan garam dan pasir di dalam cupak yang akan diberi kemudian. Keduanya perlu dimasukkan ke dalam bekas yang berasingan.

Cabaran Ketiga: Hendaklah kamu menyembunyikan cincin emas yang akan diberi di tempat yang tiada siapa dapat melihatnya.


Lalu Raja Alam Kesuma melanjutkan titahnya, “Laksanakan kesemua cabaran Beta itu sebelum terbenam matahari lusa. Andai kamu berjaya akan Beta ampunkan kesalahan kamu menderhakai Beta. Tetapi sekiranya kamu tidak berjaya, maka seluruh keluargamu akan Beta hukum buang negeri”. Setelah Puteri Cendana diberikan uncang berisi bahan rempah dan bijirin, cupak berisi garam dan pasir juga sebentuk cincin emas tersebut, maka pulanglah tiga beranak itu ke rumah mereka. Hari sudah meninggi dan matahari sudah mulai condong ke barat.

Nak tahu kesudahan cerita ini ? Tunggu minggu depan.
Terima kasih kepada yang mengikuti cerita ini. Segala komen dan pandangan anda amat saya hargai. Semoga cita-cita saya menjadi penulis, semakin nampak jalannya.

Monday, July 5, 2010

Segmen Motivasi Pagi IKIM.fm

Salam semua,

Bermula Jun 2010 Ust Pahrol Mohd Juoi mengisi slot Motivasi Pagi di IKIM.fm (106.2 utk Johor) (jam 7.30 pagi dan ulangannya sekitar jam 7.40 mlm) Sekarang bulan Julai. Slot ini diisi oleh Ust Hasrizal B Abd Jamil pula. Kesemua catatan Motivasi pagi ini saya mulakan dengan kod bulan. Hari ini dan seterusnya, Insya Allah saya kongsikan catatan daripada slot bersama …

Kejayaan bermula pada awal pagi

Ust Pahrol B Mohd Juoi

06-012010 Kejayaan bermula pada awal pagi (berMotivasi Pagi)

10 minit pertama selepas bangun tidur membawa kesan sepanjang hari. Mulakan dengan memuji Allah (doa). Masuk bilik air dengan doa. Solat juga merupakan doa. Mohonlah agar hari ini kita dapat buat yang terbaik utk beribadat kepada Allah.

Petua ahli psikologi barat lagi, kekalkan motivasi yang tinggi sehingga pukul 10 pagi, maka akan membawa keceriaan/semangat sepanjang hari. Oleh itu hadapilah hari ini dengan semangat kerana hari yang dimulakan dengan motivasi yang tinggi dapat mempengaruhi suasana sepanjang hari itu.

Sunday, July 4, 2010

“Hanya Pinjaman”

“Hanya Pinjaman”

Hidup ini bak gelombang lautan,
Kekadang tenang dan selalunya bergelora,

Hidup ini suatu perlayaran,
Kekadang aman dan selalunya dibadai,

Hidup ini bagai pinggan pinjaman,
Sampai ketika pasti dipulangkan,

Kasihkan insan berlandaskan iman,
Tuhan itu Pemilik,
Kita hanya Peminjam.


Puisi ini kutujukan kepada diriku dan juga khas untuk isteri tercinta yang baru kehilangan orang yang dikasihinya iaitu adik kami Mohd Farizan B Idrus. Adik telah kembali ke Rahmatullah pada hari Ahad 27hb Jun 2010 akibat kemalangan jalan raya. Al- fatihah buat arwah, moga dicucuri Rahmat Allah sentiasa.

Yang pergi kita doakan,
Yang tinggal kita ingati,
Tabahkan hati atas ujian,
Sabar itu sifat terpuji.

Berlapang Dada

salam,

“A light heart carries you through all the hard times very quickly”.
Wisdom & Life

Dengan berlapang dada terhadap musibah yang menimpa pasti Allah bukakan jalan-jalan Rahmat & BerkatNya.
Jangan biarkan Hatimu seperti Cawan yang Kecil, Luaskan Hatimu bak Tasik yang Luas. Renung-renungkan…

Thursday, July 1, 2010

Puteri Cendana siri 3

Puteri Cendana siri3.

Berlainan sikap permaisuri, baginda menahan Baginda Raja Alam Kesuma daripada menghukum Puteri Cendana. Permaisuri menitahkan pengawal istana untuk memanggil orang tua Puteri Cendana menghadap. Orang tua Puteri Cendana dijemput ke istana hinggap berdekatan Tasik Pura Perdana. Puteri Cendana dan ibu bapanya diberi sepersalinan pakaian istana dan diminta menghadap raja.

Permaisuri Sri Nilam Tempawan memujuk Raja Alam Kesuma untuk mengambil Puteri Cendana sebagai anak asuhan mereka. Permaisuri berkata, “Duhai kanda, alangkah moleknya jika budak ini kita ambil untuk dijadikan seumpama anak sendiri. Lagi pula kita belum lagi dikurniai anak”. Raja Alam Kesuma menjawab, “Tidak mudah-mudahnya Beta mengambil anak asuhan. Akan Beta pertimbangkan sekiranya dia melepasi ujian Beta. Barulah dia layak menjadi anakanda Beta”.

Apakah agaknya ujian kelayakan untuk menjadi anak asuhan Raja Alam Kesuma ini?
Berikan ulasan anda. Mungkin fikiran kita sama.

p/s : Cerita ini sudah hampir sampai ke suatu titik akhir. Ikuti sambungannya minggu depan…

Renung-renungkan… = )

Salam,

Sudah hampir seminggu tak post apa-apa rencana dalam blog ini. Berbagai peristiwa telah terjadi sepanjang mingu lepas di samping kesibukan tugas. Apa yang terjadi minggu lepas, mungkin akan saya ulas minggu depan…


Post Kata2 Hikmat

“He who has hope has everything”.
~ Wisdom & Life

Renung-renungkan… = )