Ibu bapa puteri Cendana sangat risau ketika menghadap raja mereka. Puteri Cendana pula kelihatan tenang sahaja. Ketika mereka bertiga masuk ke Balai Menghadap, hanya kelihatan Raja Alam Kesuma sahaja di atas singgahsana. Puteri Cendana dan kedua orang tuanya menghadap raja seperti kebiasaan hamba rakyat mengangkat sembah. Sejurus itu Raja Alam Kesuma bertitah, “Beta mahu menghukum anak ini kerana kelancangannya tadi.”
Mendengar titah raja itu, ibu bapa Puteri Cendana menunduk sambil menangis kerana anak mereka ingin dihukum. Si ayah kemudian berkata, “Mohon ampun Tuanku, patik memohon agar diri patik menjadi galang gantinya. Adapun patik inilah kurang mendidik sehingga terjadi perkara yang tidak berkenan di hati Tuanku”.
“Tidak! Beta hanya mahu menghukum orang yang bersalah sahaja. Esok bawa dia menghadap Beta untuk dikenakan hukuman”, titah Raja Alam Kesuma. Maka menangislah kedua orang tua Puteri Cendana. Puteri Cendana pula masih kelihatan tenang dan memeluk kedua orang tuanya dan berkata, “Usahlah ibu dan ayah gusar.
Bukankah ibu dan ayah telah mengajar anakanda, berani kerana benar, takut kerana salah? Anakanda tidak melakukan kesalahan, maka yakinlah Allah bersama-sama hambaNya yang benar.”
Keesokan harinya, sinar mentari pagi dilindungi awan kelabu. Suasana tak seindah pagi-pagi kelmarin. Burung bagai diam tidak berkicau. Suasana pagi itu sepilu hati kedua-dua orang tua Puteri Cendana. Dengan hati yang berdebar-debar, Puteri Cendana dibawa menghadap raja untuk menjalani hukuman. Kedua-dua orang tua Puteri Cendana berhati walang. Setelah ketiga-tiganya mengangkat sembah, Raja Alam Kesuma bertitah, “Sangat terpuji akhlak anak ini.
Tidak takut walaupun hendak dihukum. Yakin sungguh dirinya di pihak yang benar”. Suasana sepi di Balai Menghadap. Ketiga-tiga hamba rakyat ini berdiam diri dan mendengar titah selanjutnya.
“Hai anak kecil, kamu akan Beta lepaskan daripada hukuman sekiranya kamu berjaya melepasi ujian Beta. Beranikah kamu menyahut cabaran Beta?”. Puteri Cendana menjawab dengan penuh yakin, “Patik sedia menerima cabaran Tuanku kerana patik yakin berada di pihak yang benar. Tiada salahnya patik meminta izin ibu bapa patik sebelum patik menghadap Tuanku”. Lalu Raja Alam Kesuma menitahkan bendahara untuk membacakan tiga cabaran Baginda kepada Puteri Cendana seperti berikut;
Cabaran Pertama: Hendaklah kamu mengasingkan bahan-bahan dalam uncang yang akan diberi. Uncang itu mengandungi beberapa jenis rempah dan juga beberapa jenis bijirin yang bercampur baur..
Cabaran Kedua: Hendaklah kamu mengasingkan garam dan pasir di dalam cupak yang akan diberi kemudian. Keduanya perlu dimasukkan ke dalam bekas yang berasingan.
Cabaran Ketiga: Hendaklah kamu menyembunyikan cincin emas yang akan diberi di tempat yang tiada siapa dapat melihatnya.
Lalu Raja Alam Kesuma melanjutkan titahnya, “Laksanakan kesemua cabaran Beta itu sebelum terbenam matahari lusa. Andai kamu berjaya akan Beta ampunkan kesalahan kamu menderhakai Beta. Tetapi sekiranya kamu tidak berjaya, maka seluruh keluargamu akan Beta hukum buang negeri”. Setelah Puteri Cendana diberikan uncang berisi bahan rempah dan bijirin, cupak berisi garam dan pasir juga sebentuk cincin emas tersebut, maka pulanglah tiga beranak itu ke rumah mereka. Hari sudah meninggi dan matahari sudah mulai condong ke barat.
Nak tahu kesudahan cerita ini ? Tunggu minggu depan.
Terima kasih kepada yang mengikuti cerita ini. Segala komen dan pandangan anda amat saya hargai. Semoga cita-cita saya menjadi penulis, semakin nampak jalannya.
No comments:
Post a Comment