Thursday, July 15, 2010

Puteri Cendana siri 5

Sesampai di rumah, ibu Puteri Cendana terus membuka uncang pemberian raja. Diluahkan segala isi uncang itu ke dalam talam. Maka bersemburan bahan-bahan berupa rempah ratus, beras dan kekacang. Ibunya berkata, “Banyak sungguh bahan-bahan di dalam uncang ini. Bagaimana hendak kita asingkannya?”

Puteri Cendana menjawab, “Cendana akan asingkan dahulu bahan-bahan yang besar dan kasar. Kemudian barulah diusahakan bahan yang lebih kecil. Bukankah setelah halangan yang besar dapat diselesaikan, perkara yang kecil menjadi mudah?” Ibunya memuji akal anaknya itu. Pada petang itu sama-samalah anak-beranak itu mengasingkan pelbagai bahan di dalam uncang itu.

Diasingkan satu-satu bahan di dalam dua talam. Satu untuk rempah ratus dan satu talam lagi khusus untuk beras, bijian dan kekacang. Setelah mentari mulai hilang cahaya, baru sudah kerja mereka. Di dalam talam rempah ada bunga cengkih, bunga lawang, kulit kayu manis, lada kering, lada hitam, halia, kunyit, bawang putih dan bawang merah. Manakala di talam yang satu lagi ada beras, kacang tanah, kacang hijau, biji jagung dan biji selasih. Berakhirlah hari pertama.

Malam itu, Puteri Cendana menolong ibunya di dapur. Ibunya menyayur kangkung dan dia menanak nasi. Walaupun di usia lima tahun, Puteri Cendana sudah pandai membuat kerja-kerja dapur. Sambil menunggu nasi tanak, dia melihat ibunya memasak lauk. Ketika ibunya membubuh garam, dia bertanya, “Wahai ibu, bagaimana garam dibuat?” Ibunya menjawab, “Ibu tidak tahu, cuba kau tanya penjual garam di pasar, mungkin dia tahu”.

“Mungkin peniaga garam dapat membantu aku menyelesaikan cabaran kedua”, bisik Puteri Cendana.

Dinihari itu keluarga itu makan dengan penuh kesayuan. Suasana hening di luar rumah ditambah kedinginan yang mencengkam terasa seperti bersimpati kepada keluarga ini. Selesai sudah cabaran pertama. Bagaimana pula hendak menyelesaikan cabaran kedua. Hendak diasingkan garam dan pasir mengikut cara cabaran pertama sepertinya tersangat sukar untuk dikerjakan. Cabaran ketiga juga bagaikan ada muslihatnya. Selesai makan malam, mereka sekeluarga bersolat dan bermunajat memohon petunjuk Ilahi. Malam itu Puteri Cendana tertidur di pangkuan ibunya. Ibu bapanya tak dapat melelapkan mata memikirkan nasib yang menimpa. Dengan berharapan bahawa sesudah kesulitan pasti berlaku kesenangan, mereka pun menyerahkan segala urusan kepada Allah.

Maaf kepada pembaca sekalian, cerita ini tak dapat saya sudahkan minggu ini. Ikuti sambungannya minggu depan. Mohon petunjuk Allah untuk menyudahkan cerita ini.

No comments:

Post a Comment