Thursday, July 22, 2010

Puteri Cendana siri 6

Sang suria menebarkan rembang sinarnya menerangi alam jagat. Puteri Cendana kelihatan menuju ke pasar untuk berjumpa dengan Si Penjual Garam.
“Wahai Penjual Garam yang budiman, bolehkah hamba bertanya sesuatu?” Tanya Puteri Cendana setelah menjumpai Si Penjual Garam. Maka menjawablah Si Penjual Garam, “Ada apa wahai anak kecil?”

Puteri Cendana menyatakan pertanyaan berkenaan asal garam dijadikan. Penjual Garam pun menerangkan dengan panjang lebar tentang cara garam dihasilkan. Hasil penerangan Si Penjual Garam, Puteri Cendana pun mendapat satu akal untuk menyelesaikan Cabaran Kedua. Berlarilah anak kecil ini balik ke rumah. Dengan tercungap-cungap dia mendapatkan ibunya.

“Ibu, Cendana sudah mendapat akal untuk Cabaran Kedua Baginda Raja” kata Puteri Cendana. Lalu dia menerangkan kepada ibunya, “Mula-mula kita bancuh garam dan pasir di dalam Cupak Raja itu dengan air panas. Garam akan bertukar menjadi air garam, sedangkan pasir akan tetap tidak berubah”.

“Wah, bijak sungguh anak bapak” bapa Puteri Cendana mencelah. Ibunya lalu bertanya, “Terus, bagaimana hendak diasingkan garam dan pasir itu?”
Puteri Cendana pun menerangkan, “Setelah menjadi air garam, pasir itu boleh kita asingkan menggunakan penapis. Air garam akan kita saring ke dalam bekas yang lain, maka yang tinggal pada penapis ialah pasir semata”.

Begitulah rancangan yang difikirkan oleh Puteri Cendana dan dilaksanakan pada petang itu juga. Setelah air tanak, campuran di dalam Cupak Raja itu dibancuh ke dalam air panas. Air garam dan pasir yang telah diasingkan ke bekas lain itu disimpan di atas para. Matahari sudah condong ke ufuk barat dan Puteri Cendana terus memikirkan cara untuk menyelesaikan Cabaran Terakhir. Ibu dan bapa Puteri Cendana bersusah hati mengenangkan nasib yang bakal menimpa mereka sekeluarga. Cabaran ketiga belum juga dapat difikirkan mereka.

Tiba-tiba datang seorang tua ke rumah mereka. Dia bertanya khabar dan menjemput untuk datang ke balai solat di tengah kampung kerana katanya ada orang alim bermusafir sedang singgah di kampung mereka. Seketika itu juga Puteri Cendana bagai melihat bintang terang berkilau di ufuk barat. Cahayanya mengalahkan sinar mentari petang. Datanglah firasat baik dalam dirinya untuk menghadiri majlis di balai solat pada malam itu.

“Ibu, ayah”, kata Puteri Cendana. “Ada baiknya kita menghadiri majlis ilmu itu pada malam ini. Manalah tahu Allah menunjukkan jalan untuk menyelesaikan masalah kita ini. Setidak-tidaknya, dapat juga kita ilmu berguna andai esok menjadi hari terakhir kita di negeri ini”.

Mendengar kata-kata Puteri Cendana itu, menjadi haru hati keduanya.
“Baiklah, kita pergi malam ini. Emaknya, pergilah buat apa-apa yang patut untuk kita beri kepada orang alim itu. Adat belajar, menghormati guru”, ujar Si Bapa.
Pada malam itu, selepas solat Isyak mendengarlah orang-orang kampung akan ajaran Si Alim Musafir. Si Alim Musafir menerangkan tentang keimanan kepada Allah dengan berpandukan kepada Asma’ atau Nama-nama Allah yang mulia. Pada malam itu juga Puteri Cendana bagai tercerahkan.

Bintang pada lewat petang tadi dilihat memancar-mancar kegemilangan pada malam itu. Indah cemerlang mengalahkan yang lain dan hanya Puteri Cendana menyaksikan. Malam itu, tidurlah anak beranak itu dengan hati yang ringan kerana merasa nikmat belajar ilmu tentang Ketuhanan. Bertambah-tambah iman mereka dan tiada lagi mereka berdukacita. Segalanya kini diserahkan kepada Ilahi.
Ya Rahman,
Ya Rahim,
Ya Wahab…

No comments:

Post a Comment