Hari ketiga telah bermula. Mentari sudah sepenggalah. Puteri Cendana menjemur air garam semalam supaya air garam itu bertukar menjadi butiran garam. Begitulah yang diberitahu kepadanya oleh Si Penjual Garam. Segala persiapan menghadap Baginda Raja telah disiapkan. Cabaran ketiga masih tidak dapat diselesaikan. Puteri Cendana masih mencari-cari ilham untuk memecahkan permasalahan itu. Dicubanya menyembunyikan cincin emas Baginda Raja di dalam biliknya tetapi terasa ada yang memerhati. Pergi pula Puteri Cendana ke bawah rumah. Dicuba menyorokkan di bawah tempayan namun tetap merasakan ada yang melihat.
Rumahnya berada di hujung kampung. Jauh dari penduduk kampung yang lain. Tika matahari tegak di langit seperti ini kebiasaannya, penduduk kampung yang lain berada di rumah atau di ladang menjamu makanan tengahari. Sudah sepatutnya Puteri Cendana dengan mudah menyembunyikan cincin emas itu. Dia bersendirian dan ibu bapanya juga belum pulang dari hutan mencari hasil hutan bagi menampung perjalanan jauh ke negeri orang sekiranya cabaran yang terakhir ini tidak dapat diselesaikan.
Air garam yang dijemur sudah bertukar menjadi butiran garam. Ibu dan bapanya juga sudah kembali dari hutan. Setelah menjamah makanan sekadarnya, mereka tiga beranak pun menuju ke Istana Baginda Raja. Ibu bapa Puteri Cendana membawa talam-talam berisi rempah dan bijirin yang telah diasingkan manakala dirinya membawa bekas berisi pasir dan garam dikedua belah tangannya.
“Cendana, bagaimana dengan Cincin Emas Baginda Raja? Sudahkah kau sembunyikan?” Tanya ibunya. Cendana hanya diam sahaja. Ibunya tidak bertanya lagi. Penduduk kampung yang mengetahui kisah mereka mengucapkan kata-kata semangat supaya mereka tiga beranak dipermudahkan.
Seorang daripada penduduk kampung itu berkata, “Keluarga Cendana sangat baik kepada kita. Tidak pernah memusuhi sesiapa dan Cendana sendiri sudah seperti anak kita. Sama-samalah kita doakan kebaikan kepada mereka. Semoga Tuhan Yang Rahman membantu mereka”.
“Ampun Tuanku beribu ampun sembah patik harap diampun”, sembah mereka tiga beranak ketika sampai ke hadapan Baginda Raja Alam Kesuma. Kelihatan Permaisuri Sri Nilam Tempawan di samping Baginda Raja. Wajah Baginda Permaisuri berseri-seri memandang Puteri Cendana. Sejurus kemudian Raja Alam Kesuma bertitah, “Sudahkah diselesaikan kesemua cabaran Beta?”
Tanpa berkata sepatah pun, ibu bapa Puteri Cendana terus mempersembahkan talam di tangan mereka kepada Baginda Raja. Dibukanya penutup kain yang menutup bahan-bahan di dalam uncang tempoh hari. Raja Alam Kesuma menganggukkan kepala baginda dan bertitah, “Cabaran pertama dapat kamu selesaikan dengan baik. Cabaran kedua dan ketiga pula?”
Giliran Puteri Cendana pula mempersembahkan dua buah bekas berisi garam dan pasir yang telah diasingkan. Melihat itu, baginda bertitah, “Sila terangkan kepada Beta cara kamu menyelesaikannya?”
Puteri Cendana pun menerangkan cara dia menyelesaikan Cabaran Pertama dan Cabaran Kedua.
“Adapun untuk Cabaran Ketiga, tidaklah dapat patik laksanakan”, terang Puteri Cendana. Semua orang di dalam Balai Menghadap terdiam. Baginda Raja berubah muka, kaget dengan jawapan Puteri Cendana. Puteri Cendana lalu menyambung, “Hatta, tika patik bersendiri pun, tidaklah patik mampu menyembunyikan cincin itu tanpa dilihat sesiapa. Patik sangka patiklah yang masih dapat melihatnya, lalu patik pejamkan mata dan cuba menyembunyikan cincin itu sekali lagi”.
Baginda Raja segera bertanya, “Lalu, mengapa kamu masih tidak mampu menyembunyikan cincin itu setelah memejamkan mata? Tiada siapa dapat melihat walaupun kamu sendiri”.
Puteri Cendana menjawab, “Masih ada yang melihat iaitu Tuhan Yang Maha Melihat. Yang memiliki sifat Bashir. Tiada suatupun yang dapat terlepas daripada pandanganNya”.
“Subhanallah”, sahut para pembesar negara.
“Subhanallah, Maha Suci Allah. Allahu Akbar, Allah Maha Besar”, sahut Baginda Raja Alam Kesuma.
Ibu bapa Puteri Cendana menundukkan pandangan mendengar penjelasan anak mereka. Ini bermakna mereka akan dibuang negeri oleh kerana Cabaran Ketiga sudah semestinya tidak dapat dilaksanakan.
Sinar mentari mulai hilang. Suasana senja menebarkan mega merah di ufuk barat. Matahari akan tenggelam sebentar lagi. Gelap malam mulai menutupi alam. Suasana di Balai Menghadap senyap sunyi.
Baginda Permaisuri berwajah sugul kerana hasratnya mungkin tidak kesampaian. Mahu sahaja Baginda merayu Baginda Raja, suami tercinta untuk membenarkan sahaja cita-citanya mengambil Puteri Cendana menjadi anak asuhan mereka. Belum sempat Baginda Permaisuri menyatakan hasratnya, Baginda Raja Alam Kesuma memulakan titah mulia, “Anak kecil, kamu sebenarnya telah berjaya menepati hasrat Beta dalam kesemua Cabaran yang Beta ajukan”.
Suasana lewat petang itu mulai diterangi api jamung dan pelita. Berkelip-kelip pada mulanya kemudian menjadi terang benderang. Bulan dan bintang mulai menyinar cahaya. Malam itu terang bulan, bulan pada empat belas haribulan.
Kesemua yang hadir kaget dan menunggu titah selanjutnya.
“Cabaran Beta yang pertama adalah untuk menguji kesungguhan dan kesabaran anak ini. Cabaran kedua pula adalah untuk menguji akal budak ini”, titah Raja Alam Kesuma.
Baginda bertitah lagi, “Cabaran terakhir beta memang untuk gagal kerana beta ingin tahu sejauh mana keimanan anak kecil ini. Beta amat kagum dengan jawapan anakanda. Kini terbuktilah anakanda layak menjadi puteri Kerajaan Pura Perdana”.
Sejurus itu juga Puteri Cendana dan orang tuanya tunduk sujud. Bersyukur kepada Allah dan memuji-muji kebesarannya, “Subhanallah, wal hamdulillah, wa la ilaha illallah, Allahu akbar”. Pada malam itu Baginda Raja mengumumkan untuk mengadakan Majlis Penganugerahan Gelaran Puteri kepada Cendana pada keesokan hari. Pada malam itu, tabuh bersahut-sahutan bagi mengumumkan majlis tersebut.
Keesokan hari, majlis diadakan besar-besaran bagi meraikan Puteri Cendana sekeluarga. Orang-orang kampung gempar mendengar berita tersebut, namun gembira dengan khabar ini. Raja Alam Kesuma dengan rasminya menjadikan Puteri Cendana sebagai anak asuhannya. Giranglah hati Baginda Permaisuri kerana hajatnya tercapai sudah.
Sesudah sepurnama Puteri Cendana menjadi anak asuhan Baginda Raja Alam Kesuma, Permaisuri Sri Nilam Tempawan didapati hamil. Maka bergembiralah kedua pasangan Diraja dan bertambah-tambah sayang mereka kepada Puteri Cendana. Mereka beranggapan berita ini adalah berkat mengambil Puteri Cendana sebagai anak asuhan. Cukup usia kehamilan sembilan bulan sepuluh hari, Permaisuri melahirkan seorang puteri yang mereka namakan Puteri Harum Delima.
Puteri Cendana dan Puteri Harum Delima dibesarkan dengan penuh kasih sayang dan dilayan seadilnya. Hubungan kedua-dua puteri ini juga sangat rapat walau berlainan sulur darah. Namun kehidupan tidak selalunya indah bagi Puteri Cendana. Masa pastinya menjadi saksi kepada sikap hasad dengki manusia dan Puteri Cendana menjadi mangsa. Namun itu merupakan pengkisahan yang lain. Untuk ceritera ini, berakhirlah sudah.
No comments:
Post a Comment